Sunday, August 22, 2010

panduan dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan

Islam telah memberi garis panduan dalam pergaulan. sama ada antara sesama jenis atau berlainan jenis. Pergaulan diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (harus berkahwin) hendaklah mengikut batasan yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu
1) Hendaklah menutup aurat
2) Percakapan yang tidak menghairahkan (boleh menaikkan syahwat dan lucah)
3) Pergaulan di tempat terbuka (bukan di tempat yang sunyi dan mencurigakan)
4) Tujuan pergaulan yang diharuskan oleh syarak seperti urusan jual beli, perubatan, pekerjaan dan seumpamanya. ....

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. " (Al-Nur : 31)

Menyentuh soal cinta, adakah dibolehkan si lelaki dan perempuan untuk saling mengasihi satu sama lain dengan tujuan membina keluarga sakinah apabila tamat belajar kelak?? Bagaimana sekiranya kedua2nya benar2 bertekad untuk menjaga rasa cinta ini kerana mengharapkan redhaNya?? Benar, tiada hubungan kasih yg dibolehkan dalam Islam selain pernikahan, tetapi sekiranya hubungan ini dijaga dengan mengingatkan antara satu sama lain akan tujuan akhir hubungan kasih ke arah gerbang pernikahan, adakah itu dibolehkan?
{وَلاَ تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً}(الإسراء/32).

(“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan”)
– surah Al-Isra’ : 32.

عَنْ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
رواه الترمذى

Dari Umar r.a, dari Nabi SAW telah bersabda: “Tidaklah berdua-duaan lelaki dengan seorang perempuan melainkan orang yang ketiganya adalah syaitan” – H.R At-Turmizi.
Abu Isa (At-Turmizi) telah berkata: hadis ini hasan sahih.

قَوْلُهُ ( لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ ) أَيْ أَجْنَبِيَّةٍ ( إِلَّا كَانَ ثَالِثُهُمَا الشَّيْطَانَ ) وَالْمَعْنَى يَكُونُ الشَّيْطَانُ مَعَهُمَا يُهَيِّجُ شَهْوَةَ كُلٍّ مِنْهُمَا حَتَّى يُلْقِيَهُمَا فِي الزِّنَا فَالْحَدِيثُ بِكَمَالِهِ إِمَّا صَحِيحٌ أَوْ حَسَنٌ اِنْتَهَى .
شرح الترمذي

Sabda Nabi SAW: “Tidaklah berdua-duaan lelaki dengan seorang perempuan (iaitu perempuan asing) melainkan orang yang ketiganya adalah syaitan”) dan maknanya adalah syaitan bersama dengan mereka berdua menyalakan syahwat di antara mereka sehinggalah dicampakkan mereka ke lembah perzinaan. Ada pun hadis keseluruhannya sama ada sahih atau pun hasan - Syarah At-Turmizi.

عَنْ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا وَمَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ
رواه احمد

Dari Umar r.a, dari Nabi SAW telah bersabda: “tidaklah berdua-duaan seseorang di kalangan kamu dengan seorang perempuan maka sesungguhnya syaitanlah orang yang ketiga. Barang siapa merasa gembira dengan kebaikannya dan merasa kecewa dengan keburukannya maka ketahuilah bahawa dialah orang yang mukmin”- H.R Ahmad.

Jadi dari ayat dan hadis di atas telah jelas kepada kita bahawa agama Islam cukup menekankan kepada sebarang perkara yang menyebabkan kepada perkara yang lebih buruk. Ini dikenali di kalangan ulama suatu kaedah umum dalam Islam “saddu zari`ah” yang bermaksud mencegah sebarang jalan yang menjadi penyebab ke arah keburukan seperti pengharaman kepada meminum arak yang sedikit walau pun ianya tidak memabukkan. Ini kerana, dengan meminum sedikit daripada arak akan menyebabkan si peminum akan terjebak dengan mabuk. Pengharaman berkhalwat dengan wanita yang bukan muhrim, kerana ianya akan menyebabkan terbukanya pintu perzinaan.

Begitulah dengan halnya percintaan di antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim sebagaimana yang anda nyatakan di dalam soalan anda. Tiada hubungan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya yang dibenarkan dalam Islam melainkan ikatan perkahwinan. Begitulah Islam menjaga umatnya.

Sekiranya kita melihat kepada sejarah para sahabat, tabien dan salaf soleh, tiada pun termaktub di dalam sejarah yang mereka menjalinkan hubungan cinta di antara lelaki dan perempuan sebelum perkahwinan akan tetapi cinta mereka wujud selepas perkahwinan. Lihatlah percintaan Rasulullah SAW dengan isterinya Khadijah r.a yang mana kita dapat melihat pengorbanan yang dibuat oleh siti Khadijah r.a untuk suami yang tercinta. Begitu juga percintaan Nabi SAW dengan Aisyah r.a. Begitulah para salaf soleh yang lainnya.

Islam mengajar penganutnya apabila menyukai seseorang, maka jalinkanlah hubungan (bertunang) untuk menilai hati budi kedua belah pihak. Apabila tiba masa yang sesuai, dirikanlah rumahtangga. Tetapi mestilah berwaspada, insan yang bertunang hendaklah menjaga setiap gerak geri di dalam perhubungan mereka agar tidak melanggar batas-batas syariat. Kerana tujuan Allah SWT menjadikan kaum lelaki dan wanita adalah untuk saling melengkapi satu sama lain yang mana tidak dapat dijalinkan melainkan dalam hubungan suami isteri sebagaimana firmanNya:

{وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآياتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ}(الروم/21).

(“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”) – surah Ar-Rum : 21.

Jadi rumusan dari perbahasan ini, bolehlah kita fahami bahawa tiada suatu pun ikatan di antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim yang dibenarkan oleh syarak melainkan ikatan perkahwinan, walaupun mereka dapat menjaga hubungan tersebut dengan niat untuk mendapat keredaan Allah SWT. Kerana cara itu telah bercanggah dengan syariah




No comments:

Post a Comment

seBuah kriTikan sEguNung sEmanGat mBina